Konservasi dan pemuliharaan Tuntung

Aktiviti pemuliharaan spesies tuntung kini merupakan salah satu agenda penyelamatan spesies hidupan liar yang bergerak aktif. Misalnya di Malaysia, aktiviti seperti ini diusahakan oleh Perhilitan negeri Perak. Populasi tuntung di Malaysia khususnya di sekitar Sungai Perak telah mengalami kemerosotan yang teruk dalam tempoh 30 tahun, kini status tuntung berada dalam keadaan amat terancam dan hampir pupus.

Langkah konservasi tuntung yang diamalkan oleh Perhilitan negeri Perak biasanya bermula dari aspek pengutipan telur tuntung, pengeraman, penjagaan lepas menetas, pelepasan, penguatkuasaan dan pengawalan.

Tuntung betina yang telah mendarat ditepi muara dan bertelur akan meninggalkan telurnya begitu sahaja sebaik sahaja dikambus dengan pasir. Pekerja Perhilitan akan bertanggungjawab untuk melihat dan mengawal kawasan pendaratan tuntung dengan lebih kerap bagi mengelakkan telur tuntung daripada dicuri. Seawal pukul 7.20 pagi, pekerja Perhilitan akan pergi ke kawasan pendaratan tuntung untuk melihat dan memeriksa samaada terdapatnya biji telur tuntung yang tertanam. Tapak peneluran yang mengandungi telur akan dikorek dan dikeluarkan telurnya dengan berhati-hati. Semua telur dipindahkan ke pusat rehabilitasi tuntung di tepi Sungai Perak, Bota Kanan, Perak.

Telur tuntung yang telah di kutip akan dieram dam tapak eraman khas yang berpasir dan bersangkar. Tuntung yang berjaya ditetas akan dijaga rapi dan diletakkan dalam besin untuk dibiarkan berenang dengan bebas. Setiap anak tuntung pada mulanya akan diberikan makanan palet yang berzat penuh dengan mineral dan multivitamin bagi membolehkan ia membesar denga cepat dan sihat. Tuntung yang telah berumur 1-2 tahun akan diberikan makanan mengikut diet semulajadinya seperti ikan kecil dan sayur bayam segar. Pemberian sayur akan dinyah racun bagi mengelakkan tuntung dari cepat sakit dan mati. Pemberian makanan biasanya dilakukan pada pukul 10.00 pagi.

Kolam tuntung akan sentiasa dibersihkan sekerap mungkin iaitu seminggu sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit. Tuntung yang sudah berumur 2 tahun dan keatas biasanya akan dimasukkan mikrocip pengesan, ini bagi membolehkan tuntung dikesan apabila ia dilepaskan ke habitat asal tuntung tersebut.

Kos penyelenggaran dan perbelanjaan pemuliharaan dan pemeliharaan tuntung dianggarkan memakan belanja sehingga RM 85,000 setahun.

Tuntung di Malaysia merupakan haiwan eksotik perlindungan penuh dibawah Akta Hidupan Liar 2010 yang melarang mana-mana orang dari menangkap, memakan, menjual tuntung dan telurnya.

Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) Bota, Perak, Malaysia

Pusat Konservasi Hidupan Liar (Tuntung) Bota, Perak, Malaysia terletak di Kampung Bota Kanan Daerah perak Tengah iaitu kira-kira 50km dari Bandar Ipoh. Pusat yang ditubuhkan pada 1968 adalah sama dengan majlis yang berlangsung pada tahun 16 30an di mana Sultan Perak ketika itu Sultan Mudzaffar Shah II melepaskan tuntung ke Sungai Perak. Tujuan pusat ini ditubuhkan adalah untuk memulihara Tuntung melalui pengumpulan dan penetasan telur.Tuntung Sungai (Batagur baska) dan Tuntung Laut (Callagur borneoensis) merupakan spesies reptilia yang di pelihara dalam kolam-kolam pembiakan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan. Spesies Tuntung ini dipelihara dan dibiakkan bagi mengelak kepupusan akibat aktiviti-aktiviti pengambilan pasir-pasir sungai yang tidak terkawal. Pasir sungai merupakan komponen utama di dalam habitat semula jadi spesies in

Pusat Konservasi Hidupan Liar Bota Kanan merupakan pusat Tuntung yang terbesar dengan bilangan yang mencapai 1356 ekor. Selain daripada menjadi kawasan bagi pemuliharaan spesies Tuntung, ia juga merupakan pusat penyelidikan bagi penyelidik dari dalam dan luar negara terutamanya bagi pelajar-pelajar yang meminati spesies hidupan liar ini

Telur-telur Tuntung yang diperolehi pada setiap musim bertelur akan dieramkan secara semula jadi di dalam kawasan berpasir yang terdapat di sekitar kawasan pusat. Tempoh masa pengeraman telur-telur Tuntung ini adalah di antara 75 hingga 100 hari. Terdapat sepuluh buah kolam pembiakan Tuntung, di mana setiap kolam pembiakan ini memelihara Tuntung mengikut peringkat umur masing-masing bermula daripada umur sehari penetasan sehingga umur dewasa. Tuntung tertua yang terdapat di sini berusia 37 tahun.

Rujukan

WikiPedia: Tuntung http://www.doa.gov.my/index/resources/perkhidmatan... http://www.wildlife.gov.my/index.php/bm/perkhidmat... http://fossilworks.org/bridge.pl?a=taxonInfo&taxon... http://www.irmng.org/aphia.php?p=taxdetails&id=103... http://www.iucn-tftsg.org/wp-content/uploads/file/... http://www.iucn-tftsg.org/wp-content/uploads/file/... http://www.iucnredlist.org https://www.itis.gov/servlet/SingleRpt/SingleRpt?s... https://www.ncbi.nlm.nih.gov/Taxonomy/Browser/wwwt... https://speciesplus.net/#/taxon_concepts/10403/leg...